fb fb fb fb fb

Bajet 2023 beri banyak manfaat kepada golongan belia

(Golongan belia antara yang bakal mendapat manfaat besar dalam Bajet 2023)

PADANG TERAP, 11 Oktober - Golongan belia antara yang bakal mendapat manfaat besar dalam Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di parlimen pada Jumaat lalu.

Ia termasuk peluang untuk memiliki kediaman sendiri dan menjalankan aktiviti keusahawanan.

Melalui Bajet 2023, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM367 juta bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk manfaat 12,400 bakal penghuni baharu.

Selain itu, 4,250 unit rumah di bawah program rumah mesra rakyat turut akan dibina melibatkan peruntukan sebanyak RM358 juta.

Bagi Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Muhammad Jasnizam Husni, peruntukan yang besar tersebut menunjukkan keprihatinan dan keseriusan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan rakyat segenap lapisan dapat memiliki dan mendiami rumah sendiri.

Beliau berkata inilah yang ditunggu-tunggu anak muda yang mana ramai belia pada hari ini tidak mempunyai rumah sendiri.

“Jadi bila diumumkan skim yang macam ni melalui rumah mesra rakyat jadi boleh menolong atau membantu terutamanya belia yang baru berkahwin nak cari rumah apa semua ada kat sini (Bajet 2023).

“Saya melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat menitikberatkan belia-belia yang mempunyai masalah terutamanya masalah penginapan atau masalah rumah ini lah," katanya ketika ditemui Berita RTM di Kampung Lebai Saman, Naka di sini hari ini.


(Golongan belia antara yang bakal mendapat manfaat besar dalam Bajet 2023)

Jelas Muhammad Jasnizam, antara faedah lain yang bakal dinikmati golongan belia termasuk inisiatif e-Pemula yang diteruskan pada tahun hadapan dan ditambah baik dengan jumlah kredit e-dompet dinaikkan daripada RM150 kepada RM200.

Program tersebut akan memberi manfaat kepada 2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa berusia 21 tahun ke atas dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Selain itu, bagi menggalakkan lebih ramai anak muda berniaga, sejumlah RM305 juta disediakan sebagai kemudahan pinjaman melalui SME Bank, TEKUN, MARA, BSN dan Agrobank.

Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah BSN dengan dana RM50 juta menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk 10 ribu anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan ‘food truck’.

Bagi membantu belia kumpulan B40 yang menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan ‘e-hailing’, kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen di bawah program MyPSV.

Kerajaan turut bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2.

Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan peruntukan RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Media Baharu