fb fb fb fb fb

Tarif elektrik pengguna domestik tidak dinaikkan

PUTRAJAYA, 16 Disember- Kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik.

Bagaimanapun, pengguna bukan domestik bervoltan sederhana dan tinggi dalam kalangan industri bakal dikenakan surcaj RM0.20 per kilowatt jam.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan masih lagi menampung subsidi pengguna industri dengan peruntukan RM1.93 bilion.

Langkah diambil bagi memastikan peningkatan surcaj tidak dilepaskan secara mendadak.

"Bagi memastikan harga barangan makanan dan produk pertanian tidak mengalami sebarang kenaikan, pengguna seperti petani, penternak dan pekebun yang termasuk dalam kategori pertanian spesifik (tarif H) turut tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

"Kerajaan memperuntukkan tambahan RM90 juta subsidi kepada kategori pengguna ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

(Nik Nazmi Nik Ahmad)

Pengguna bukan domestik dalam kategori voltan rendah termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga tidak akan mengalami kenaikan tarif.

Sejumlah RM8.74 bilion subsidi diperuntukkan kepada pengguna kategori ini, seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 13 Disember lalu.

Keseluruhannya, sejumlah RM10.76 bilion diperuntukkan untuk tujuan subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

Media Baharu