RIO DE JANEIRO, 8 Julai- Tindakan pihak tertentu yang mempersoalkan penglibatan Putrajaya dalam memperolehi potensi pelaburan di luar negara diselar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas beliau, keberadaan kerajaan tersebut membolehkan rundingan lebih bermanfaat dapat dilakukan.
Datuk Seri Anwar mengakui syarikat korporat boleh mendapatkan terus perkhidmatan atau produk diingini, namun rundingan yang lebih menguntungkan rakyat dapat diperolehi jika Putrajaya turut serta.
"Kita kena beli juga, jadi kalau kita runding, beli itu faedah kepada negara itu yang lebih kerana kita meletakkan syarat, syarikat hanya boleh beli tapi kita letak syarat, mesti buat sebahagian di Malaysia, mesti ada pengkalan di Malaysia, itu keperluan campur tangan pimpinan negara," ujar beliau ketika bercakap kepada media Malaysia, di sini.
Jelas Perdana Menteri, potensi pelaburan yang dicanang bukan omong kosong, sebaliknya ia adalah kejayaan hasil perbincangan yang dijalankan.
"Walaupun kita sebut potensinya, nanti Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menekankan mana (pelaburan) yang sudah pun siap, mana yang dah mulakan, kita dalam soal kepentingan negara jangan kita permain dan remehkan," kata beliau.
Dalam pada itu, syarikat korporat Malaysia mengakui penglibatan Putrajaya memudahkan rundingan dengan pihak luar.
Menurut mereka, kata sepakat lebih adil dapat diperoleh menerusi kaedah tersebut.
"Kami amat bersyukur mendapat sokongan kerajaan dan menjadi sebahagian daripada delegasi. Kami lihat ada banyak permintaan global terhadap kepakaran kami. Menjadi sebahagian daripada delegasi turut membolehkan kami bertemu rakan perniagaan di Paris, Rom dan Rio De Janeiro," jelas Pengarah Eksekutif YTL Power, Yeoh Kong Han.
" Kalau kita tengok dari segi geopolitik sekarang ini, kita semua sedang berdepan cabaran dalam usaha meneroka pasaran baharu. Alhamdulillah, ini antara perkara yang disarankan oleh Perdana Menteri iaitu bagaimana kita boleh memanfaatkan masa yang ada ini sebaik mungkin, " ujar Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Sejumlah 17 syarikat korporat Malaysia turut serta misi lawatan Perdana Menteri ke tiga negara dan semua kos berkaitan ditanggung sendiri oleh mereka.