JOHOR BAHRU, 8 Julai - Perbincangan akhir bersama pihak kontraktor dan agensi berkaitan dijangka dimuktamadkan minggu ini bagi menentukan lokasi dan tarikh pembukaan berfasa bagi laluan tiga lorong di sepanjang jajaran projek pelebaran Lebuh Raya Pasir Gudang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pembukaan itu akan dilakukan secara berperingkat melibatkan beberapa bahagian sepanjang lima kilometer kawasan kerja, bergantung kepada tahap siap dan aspek keselamatan semasa.
“Jadi kita akan buka kawasan yang telah siap lebih awal supaya rakyat boleh mula guna dan rasai manfaatnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan projek berkenaan di sini malam tadi.
Bagaimanapun, sebarang pembukaan perlu diteliti secara mendalam kerana kerja-kerja penyelenggaraan masih perlu diteruskan dalam keadaan trafik aktif.
“Kalau kita nak cepatkan projek, kita terpaksa buka satu lorong sahaja semasa kerja berjalan. Tapi itu akan ganggu trafik. Jadi kita kena seimbangkan tidak boleh kurang daripada dua lorong yang sedang digunakan sekarang,” jelasnya.
Pada Februari lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek menaik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang (Fasa 3) dari Persimpangan Bertingkat Perling ke Susur Naik Lebuhraya Utara Selatan dari empat lorong ke enam lorong dengan kos sebanyak RM301.5 juta dijangka siap Jun 2028.
Projek menaik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang (Fasa 2B) dari Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Pasir Gudang dari empat lorong kepada enam lorong dengan kos sebanyak RM78 juta pula dijangka siap Februari 2026.
Mengulas perkembangan semasa di tapak projek Mohamad Fazli berkata dua lokasi utama yang menjadi tumpuan ialah CH1170 (berhadapan Petron) dan CH4200 (berhampiran bulatan replika Wau) berikutan kawasan ini terdapat banyak lubang, gelap dan tidak rata.
Mohamad Fazli berkata kerja-kerja seperti penurapan jalan dan pemasangan lampu sedang giat dilaksanakan, termasuk lebih 467 tampalan kekal yang telah disiapkan sejak Januari lepas.
Beliau berkata kontraktor turut memberi jaminan bahawa pemasangan 197 unit lampu bertiang di sepanjang laluan lima kilometer terlibat akan diselesaikan sepenuhnya menjelang 11 Julai ini, dengan penambahan spotlight dan blinker di kawasan buta penglihatan (blind spot) bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli turut memaklumkan orang ramai yang mengalami kerosakan kenderaan akibat jalan berlubang dalam kawasan projek boleh membuat tuntutan pampasan kepada pihak kontraktor atau konsesi.
“Ini sebahagian daripada kontrak antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi. Jalan mesti sentiasa berada dalam keadaan selamat. Jika berlaku kerosakan atau kemalangan akibat infrastruktur yang tidak selamat, pengguna boleh buat laporan polis dan kemukakan tuntutan dengan bukti bergambar lokasi kejadian,” katanya.
Lebuh Raya Pasir Gudang merupakan laluan utama ke Pasir Gudang, kawasan perindustrian terbesar di negara ini yang menempatkan lebih 5,000 kilang pelbagai industri selain menghubungkan dua pelabuhan utama, Pelabuhan Johor (Johor Port) dan Pelabuhan Tanjung Langsat (PTL).- BERNAMA