RIO DE JANEIRO, 8 Julai –Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akses kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang kukuh serta peraturan terhadap rantaian bekalan perubatan global merupakan tunjang kepada kestabilan negara dan keselamatan antarabangsa.
Beliau menjelaskan, jangka hayat seseorang di kebanyakkan tempat di dunia masih ditentukan oleh tahap pendapatan dan bukannya faktor biologi semata-mata.
“Kemungkinan seorang kanak-kanak untuk hidup melebihi usia lima tahun masih bergantung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, ia adalah kegagalan kolektif kita semua," katanya ketika menyampaikan intervensi pada sesi "Environment, COP30 and Global Health (Persekitaran, COP30 dan Kesihatan Global) bersempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar dalam ucapannya menyuarakan kebimbangan terhadap sistem kewangan global, yang menekan negara membangun untuk mengalihkan sumber daripada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan dan air bersih bagi membayar hutang lapuk.
Jelas beliau, sistem kewangan yang sepatutnya menyokong pembangunan kini menjadi penghalang kepada kemajuan.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pelancaran Rakan Strategik BRICS bagi Menangani Penyakit Berasaskan Faktor Sosial, dengan menyifatkan inisiatif itu sebagai cerminan kesedaran bahawa penyakit tidak boleh ditangani secara bermakna tanpa mengatasi punca asasnya.
Malaysia juga menyokong kerjasama yang lebih erat antara BRICS dan ASEAN dalam usaha memperkukuh sistem pemantauan kesihatan, mempercepatkan pemindahan pengetahuan, serta membina daya tahan rentas sempadan.
Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap peralihan karbon rendah yang kredibel dan adil.
Tambah beliau, Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 serta mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
Sasaran berdasarkan perundangan negara dan diintegrasikan dalam dasar awam, namun pelaksanaannya boleh terjejas akibat beban hutang negara yang mengecilkan ruang dasar kebangsaan.