KUALA LUMPUR, 8 Julai - Kerajaan Madani beriltizam meneruskan usaha memacu pertumbuhan negara dan menjana manfaat buat rakyat.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan suara sumbang yang memperlekehkan usaha kerajaan.
Kerajaan Madani iltizam bawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus - Foto JPM
"Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat.
"Usah kita terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekeh usaha ini. Perjalanan kita masih panjang dan kita akan terus mara dengan tekad serta iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Perdana Menteri bersama deligasi berlepas pulang ke tanah air pada Isnin selepas mengadakan siri lawatan ke tiga negara, iaitu Itali, Perancis, dan Brazil.
Beliau turut menyifatkan lawatan ke Rio de Janeiro, Brazil, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 sebagai satu kejayaan penting.
Datuk Seri Anwar bergambar bersama petugas media yang turut serta siri lawatan ke Itali, Perancis dan Brazil - Foto JPM
Datuk Seri Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan misi berkenaan termasuk pegawai dan agensi kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan serta petugas media atas dedikasi dan komitmen mereka.
"Kita terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera.
"Obrigado, Brasil. Até nos encontrarmos novamente (Terima kasih, Brazil. Sehingga kita berjumpa lagi)," katanya.