fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi ke Brazil perkukuh kedudukan Malaysia di pentas global

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak BRICS 2025 di Rio de Janeiro, Brazil

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selesai menamatkan rangkaian program rasmi bersempena Sidang Kemuncak BRICS 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.

Dalam hantaran di Facebooknya, Datuk Seri Anwar berkata lawatan kerja tersebut berjaya mencapai matlamat utama memperkukuh hubungan dua hala bukan sahaja dengan Brazil, malah juga bersama negara-negara anggota BRICS lain, dalam usaha memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.

“Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan serta menjana manfaat kepada rakyat,” katanya.

Anwar turut menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan suara sumbang yang memperlekehkan usaha kerajaan, sambil menegaskan perjalanan negara masih panjang dan kerajaan akan terus mara membawa perubahan nyata demi generasi akan datang.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan misi tersebut termasuk para pegawai dan agensi kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan serta petugas media yang bertugas sepanjang lawatan rasmi itu.

“Kita terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera,” ujarnya.

Lawatan rasmi ke Brazil ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas global dan merancakkan lagi jaringan dagangan serta pelaburan strategik.

AZRUL FAIZAL JUSOH