BINTULU, 8 Julai- Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu ketika rondaan operasi bersepadu di perairan Bintulu, petang semalam.
Tangkapan dilakukan sekitar pukul 1.30 petang pada kedudukan 2.30 batu nautika barat laut Muara Sungai Kemena menerusi pelaksanaan Operasi Tiris 3.0 dan Operasi Permai 01/2019.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang kru lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan membawa seorang penumpang lelaki tempatan berumur 43 tahun.
Bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 477(2), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal mengenai pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda atau kompaun seperti diperuntukkan oleh undang-undang.
Bot bersama kru yang terlibat telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.