fb fb fb fb fb

Laksana pelbagai program bagi perkukuh jati diri belia di Perlis

Foto fail

PERLIS, 8 Julai -Sebanyak 83 program bersama pertubuhan belia, belia dan komuniti setempat dilaksanakan Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) bagi tempoh setahun, bermula 1 Julai 2024 hingga 1 Julai 2025.
 
Menurut Presidennya, Mohd Jeffry Hassan, inisiatif pelaksanaan bertepatan dengan pengurusan baharu MBNPs, bagi menggalas tanggungjawab untuk melonjakkan belia di Perlis.

Ia juga selari dengan tujuh teras utama sebagai Visi MBNPs 2025 hingga 2030 khususnya dalam meningkatkan daya saing golongan belia sebagai pemimpin pertubuhan belia pada masa hadapan.
 
MBNPs ketika ini memberikan tumpuan terhadap Pendidikan dan Kemahiran, Kesihatan dan Kesejahteraan Hidup, Kenegaraan dan Perpaduan Nasional serta Pembangunan Ekonomi.

Selain itu, tumpuan juga kepada Keusahawanan dan Digitalisasi serta Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pengstrukturan Holistik Pertubuhan Belia dan Pemerkasaan Dataraya Pertubuhan Belia.
 
Ini bagi menggalakkan kemajuan belia yang seimbang dari segi ekonomi, sosial, mental, akhlak, pendidikan dan kepimpinan masa depan generasi belia.
 
Antara program berimpak tinggi kepada belia dan komuniti seperti Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri, Konvoi Semarak Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan, penubuhan kelab belia di kampung-kampung, Kayuhan Santai Hari Belia Negara, Program Kepimpinan Belia dan Ziarah Kasih Sempena Sambutan Perayaan Utama.
 
Selain itu, turut dilaksanakan Program Jiwa Komuniti Madani Bersama Jabatan Penerangan, Program Perlis Youth Track, Penyerahan Khemah Perniagaan Usahawan Belia Anak Perlis dan Program Belia Masuk Kampung.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN