(Foto Hiasan)
PUTRAJAYA, 14 Julai- Bermula 1 Ogos ini, tarif premium baharu bagi Tarif Elektrik Hijau (GET) adalah pada kadar 21.8 sen/kWj.
Kadar tarif premium GET sedia ada, iaitu 3.7 sen/kWj akan dikekalkan dari 1 Julai hingga 31 Julai 2023.
Jelas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, penetapan kadar baharu tersebut berdasarkan penanda aras harga runcit bekalan elektrik hijau.
"Tarif baharu GET ditetapkan pada kadar 21.8 sen/kWj iaitu berdasarkan kepada penanda aras penetapan harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk yang serupa.
"Kaedah penetapan tarif serta kadar tarif premium baharu ini akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2023.
"Kadar tarif premium GET sedia ada iaitu 3.7sen/kWj akan dikekalkan dari 1 Julai 2023 hingga 31 Julai 2023.
"Oleh itu, pihak TNB akan melakukan penyesuaian terhadap bil elektrik bagi pengguna eletrik terlibat," katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.
(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad)
Tambah beliau, pengguna yang melanggan program GET juga tidak akan dikenakan caj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) kerana penjanaan daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) tidak membabitkan penggunaan bahan api fosil.
Pengguna sedia ada akan diberi tempoh hingga 31 Julai ini untuk mengesahkan semula langganan dan akan ditamatkan langganan sekiranya tiada sebarang pemakluman diterima.
Tarif Elektrik Hijau yang diperkenalkan pada tahun 2022 adalah satu inisiatif dalam mengurangkan pembebasan gas rumah hijau melalui langganan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber TBB.
Garis panduan berkaitan REE dikeluarkan dalam masa terdekat
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi memaklumkan garis panduan berkaitan pengurusan unsur nadir bumi, REE akan dikeluarkan kerajaan dalam masa terdekat.
Katanya, satu garis panduan yang jelas perlu dalam soal pengurusan REE secara lebih cekap.
"Kita akan 'come out' SOP, di peringkat persekutuan sudah siap untuk REE, kita juga akan turun ke bawah tengok keadaan dan sebagainya.
"Kita juga akan 'come out' dengan polisi daripada peringkat upstream sampai ke downstream bagaimana kita nak mengeksploitasi REE ini sebab antara kebimbangan kita adalah tidak mahu REE ini dieksport dalam keadaan 'raw' dan kita tidak dapat tambah nilai daripada perkara ini," katanya.
Beliau mengulas kejayaan Polis Kedah membongkar kegiatan pemerdagangan manusia dan aktiviti mencuri REE di Bukit Enggang, Sik, Kedah.