fb fb fb fb fb

Tarif elektrik baharu: Tumpu ketelusan kos, Insentif Cekap Tenaga

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 20 Jun- Pelaksanaan tarif elektrik baharu oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) akan memperkenalkan struktur yang lebih terperinci, adil dan menyeluruh dengan fokus kepada ketelusan kos dan Insentif Cekap Tenaga.

Pengarah Kawal Selia Ekonomi ST, Marlinda Mohd Rosli berkata, penstrukturan itu adalah sebahagian daripada dasar jangka panjang menerusi mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang mula diperkenalkan sejak 2014.

"Kali ini kita perkenalkan empat komponen caj bahan api, kapasiti, rangkaian dan pengguna yang membolehkan pengguna melihat dengan jelas ke mana bayaran mereka disalurkan," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Tanya Terus di sini, hari ini.

Selain itu, lebih menarik lagi, dua elemen baharu diperkenalkan iaitu Insentif Cekap Tenaga dan penambahbaikan Skim Masa Penggunaan (TOU).

Insentif itu bertujuan memberi ganjaran kepada pengguna yang berjaya menjimatkan penggunaan elektrik, manakala TOU membolehkan pengguna menikmati kadar lebih rendah di luar waktu puncak termasuk hujung minggu.

Pengguna domestik berpendapatan rendah turut terus dilindungi.

Mereka yang menggunakan kurang daripada 600 kilowatt per jam/kWj sebulan tidak akan mengalami sebarang kenaikan bil, manakala isi rumah miskin tegar masih layak menerima rebat RM40 sebulan di bawah program eKasih.

Mekanisme baharu turut memperkenalkan sistem 'Automatic Fuel Adjustment' (AFA) yang menggantikan 'Imbalance Cost Pass-Through' (ICPT), membolehkan semakan kos bahan api dilakukan secara bulanan dan bukan lagi setiap enam bulan.

Ini memudahkan pengguna menjangkakan anggaran bil masing-masing.

“Kalau kos bahan api naik, impak maksimum yang kami unjurkan hanyalah sekitar 3 sen. Tetapi bila kos turun, pengguna juga akan dapat faedahnya,” ujar beliau.

Dalam masa sama, tarif khas untuk sektor strategik seperti pertanian, pembetungan, rel serta institusi sosial seperti rumah ibadah dan IPT turut dikekalkan dengan rebat sehingga 10 peratus.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM