KUALA LUMPUR, 20 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat perpisahan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pagi tadi.
Menerusi catatan di Facebook, Datuk Seri Anwar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Razarudin atas khidmat bakti kepada rakyat dan negara.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, kepimpinan dan dedikasi beliau sepanjang menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Saya mendoakan agar Tan Sri Razarudin terus dikurniakan kesihatan yang baik, serta kekuatan untuk terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti.
"Terima kasih atas khidmat bakti yang amat bermakna kepada rakyat dan negara." katanya.