fb fb fb fb fb

Tarif elektrik: Lebih 23.6 juta pengguna di Semenanjung nikmati kadar lebih adil

Tarif elektrik baharu di Semenanjung berkuat kuasa 1Julai / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Jun – Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu, yang telah diluluskan oleh kerajaan.

Tarif tersebut berkuat kuasa mulai 1 Julai sehingga 31 Disember 2027.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tenaga (ST), penetapan tarif itu di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen.

"Iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu, dan mekanisme pelarasan kos bahan api." kata kenyataan itu.

Kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4 dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada bulan Disember 2024.

Dengan pelarasan ini, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3).

"Pengenalan jadual tarif baharu ini meliputi perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan
domestik, berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana dan tinggi.

"Serta penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan." menurut kenyataan ST.

Sebagai galakan penggunaan tenaga yang lebih cekap, Insentif Cekap Tenaga diperkenalkan.

"Melalui insentif ini, pengguna domestik yang menggunakan 1,000 kWj dan ke bawah sebulan tidak akan terjejas dengan tarif baharu.

"Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah dengan penggunaan 200 kWj dan ke bawah turut mendapat manfaat." jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, Skim Masa Penggunaan juga diselaras dengan waktu luar puncak diperluas, termasuk sepanjang hujung minggu dan dari 10 malam hingga 2 petang pada hari biasa.

Ini membolehkan pengguna menjimatkan bil dengan mengalihkan penggunaan ke luar waktu puncak.

Kerajaan juga memastikan kebajikan rakyat terpelihara dengan mengekalkan tarif khas untuk sektor pertanian, air, pembetungan, serta operator rel.

ST turut menyatakan, rebat 10% akan diteruskan untuk institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat, termasuk Program Rebat Bil Elektrik RM40 bagi isi rumah miskin tegar berdaftar dalam sistem e-Kasih.

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik yang berhampiran.

Mulai Julai, pengguna akan menerima bil dalam format baharu yang lebih terperinci.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ