fb fb fb fb fb

Tarif elektrik baharu mulai 1 Julai: Lebih 23 juta rakyat tidak terjejas

Foto fail

KUALA LUMPUR, 21 Jun - Lebih 23 juta rakyat Malaysia dijamin tidak akan terjejas susulan penstrukturan semula tarif elektrik yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, langkah itu sebaliknya akan menjadikannya lebih inklusif dan tidak membebankan rakyat khususnya pengguna domestik.

"Kadar tarif baharu itu dirangka bagi memperkenalkan struktur yang lebih adil, telus dan mampu milik kepada pengguna domestik.

"Bagi pengguna domestik, pengurusan penggunaan tenaga secara berhemah mampu mengurangkan jumlah bil elektrik bulanan serta memberi kesan positif kepada alam sekitar, " menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, penstrukturan itu juga sejajar usaha kerajaan melalui Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap penggunaan tenaga yang mampan dan cekap tenaga.

Melalui pendekatan tersebut, pengguna bukan sahaja mendapat kefahaman lebih jelas tentang pecahan caj dalam bil elektrik, malah diberi lebih kawalan terhadap corak penggunaan serta perbelanjaan tenaga mereka.

"Sebagai contoh, sekiranya jumlah penggunaan elektrik dikekalkan di bawah 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan atau purata sekitar 20 kWh sehari, pengguna layak menikmati pengecualian caj runcit serta kadar insentif kecekapan tenaga (EE) yang lebih tinggi," kata kenyataan itu lagi.

Pengguna juga boleh mempertimbangkan untuk beralih kepada pelan tarif Waktu Puncak/Luar Puncak bagi menikmati kadar caj tenaga yang lebih rendah pada waktu bukan puncak, bergantung kepada corak penggunaan masing-masing.

Dengan pelaksanaan tarif baharu, kerajaan dan TNB komited untuk membina sistem tenaga yang lebih mampan, telus dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara.

TETITIA YUSOFF