KOTA KINABALU, 21 Jun- Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang bermula April tahun lepas dijangka selesai Ogos ini.
Antara lain bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang lebih responsif dalam mengawal selia industri e-dagang dan melindungi kepentingan pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian kini berada pada fasa akhir sebelum cadangan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Ia bagi pertimbangan dan kelulusan sebelum dikemukakan ke parlimen untuk penggubalan atau pindaan undang-undang berkaitan.
Antara akta terkait secara langsung dengan sektor e-dagang di bawah kementerian ialah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perdagangan Elektronik 2006.
"Jadi, ini kita sedang teliti dan kaji apakah kaedah yang terbaik kerana akhirnya matlamat kita itu bukanlah kerangka perundangan ini semata-mata wujudkan satu mekanisme kawal selia yang kondusif.
"Tetapi ia juga boleh menjadi sebahagian daripada faktor untuk wujudkan ekosistem yang dapat membangunkan perniagaan, perdagangan yang mengguna pakai platform e-dagang ini.
"Jadi, kita tidak mahu kelak perundangan itu menjadi satu bentuk perkara yang boleh menyekat perkembangan potensi sektor perdagangan ataupun e-dagang itu sendiri," katanya.
Datuk Armizan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah di sini.
Antara objektif utama kajian itu adalah untuk mengenal pasti perundangan berkaitan e-dagang, skop kawal selia, kekangan undang-undang sedia ada serta membuat perbandingan dengan pelaksanaan undang-undang e-dagang di peringkat antarabangsa.
Datuk Armizan turut memaklumkan sesi dialog awam bersama pemain industri akan diadakan pada 17 Julai depan bagi mendapatkan pandangan dan input berkaitan pelaksanaan perundangan e-dagang.
Sepanjang kajian dijalankan, sebanyak 63 entiti daripada sektor awam, swasta dan industri telah dilibatkan dalam sesi libat urus termasuk kaji selidik bersama firma dan pengguna platform e-dagang.
Sektor e-dagang dijangka mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM1.65 trilion tahun ini.