KEMAMAN, 21 Jun - Peranan ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) akan terus diperkasa bagi memberi peluang kepada komuniti setempat menjaga kawasan masing-masing daripada sebarang aktiviti atau gejala sosial tidak sihat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswathy Kandasami berkata, SRS yang terletak bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berperanan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti tidak sihat sekiranya dikesan berlaku dalam kawasan mereka, kepada pihak berkuasa.
Menurut Saraswathy, menjadi tanggungjawab bersama setiap ahli komuniti menjaga keharmonian dan keselamatan tempat tinggal mereka dan peranan setiap ahli SRS amat penting.
Saraswathy berkata, semasa sesi rondaan juga, setiap ahli SRS boleh memberikan kesedaran kepada semua ahli komuniti atau penduduk setempat mengenai perlunya menjaga keselamatan dan kaedah melindungi keluarga daripada sebarang masakah sosial atau aktiviti tidak sihat.
"Ia boleh beri satu kesedaran keselamatan di kawasan masing-masing dan semangat sukarelawan untuk menjaga komuniti setempat dan kesannya tinggi. Kerana ada juga di kawasan-kawasan di mana mereka dapat membenteras segala gejala sosial. Jadi ini adalah satu yang ingin kita memperkasakan," katanya.
Saraswathy bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Arena Square dan Padang Astaka Kemaman.
Mengenai Sambutan Minggu Perpaduan itu Saraswathy berkata, program berkenaan bertujuan memperkukuhkan lagi semangat perpaduan di negara ini melalui konsep ‘Faham’, ‘Hormat’, dan ‘Terima’ antara setiap kaum yang ada di negara ini.
"Rumah hak Melayu, Cina, India, dan lain-lain bertujuan memperkenalkan cara hidup, budaya dan makanan pelbagai kaum dan ini memberi satu kesedaran dan ia berteraskan kepada konsep faham hormat dan terima yang diperkasakan oleh kementerian perpaduan negara," katanya lagi.
Menurut Saraswathy, aktiviti pameran ‘Rumah Kami’ yang berkonsepkan mengikut setiap kaum di negara ini yang diperkenal pada sambutan itu dapat memberi peluang kepada semua rakyat untuk melihat dan mendalami bagaimana cara hidup, budaya, makanan dan pelbagai lagi.
Program sedemikian juga dapat meningkatan lagi interaksi pelbagai kaum ke arah untuk mencapai konsep perpaduan berkaitan cara hidup dan budaya semua kaum di negara ini.