fb fb fb fb fb

Pulau Pinang catat penurunan penyalahgunaan dadah

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah / Foto RTM

PERAI, 21 Jun - Pulau Pinang berjaya mencatatkan kadar penurunan signifikan bagi penyalahgunaan dan penagih dadah, sebanyak 12.7 peratus.

Ini bersamaan 8,180 orang sehingga Mac tahun ini, berbanding 9,375 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah terbabit golongan belia berumur 19 hingga 39 terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Hasil penurunan itu hasil kerjasama erat daripada semua pihak melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta kerajaan negeri.

"Kalau kita lihat kadar penyalahgunaan dadah dan bahan berdasarkan 100,000 penduduk di Pulau Pinang, sebanyak 454 orang penagih dicatat berbanding 521 bagi tempoh sama tahun sebelumnya." katanya.

Beliau yang juga Yang di-Pertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) berkata kepada media selepas menghadiri Program Libat Urus bersama AADK dan PEMADAM di sebuah hotel di Perai.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen merangkap Pengerusi PEMADAM negeri.

Tambahnya, golongan belia berumur 15 hingga 40 tahun kekal mendominasi golongan tertinggi penagih dadah di seluruh negara, dengan 65,264 orang bersamaan 60.2 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2025.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ