PERAI, 21 Jun-Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu laporan siasatan dalaman daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung insiden enam pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu, Negeri Sembilan yang melarikan diri pada Selasa lepas.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata siasatan terbabit penting sebelum mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan insiden itu berulang pada masa hadapan.
"Siasatan dalaman sedang dibuat oleh AADK untuk melihat daripada segala aspek apakah penyebab perkara ini berlaku.
"Kita tunggu siasatan dalaman dibuat, dan berdasarkan laporan nanti, tentulah kita akan membuat tindakan penambahbaikan. Tindakan akan dilakukan, dan seorang lagi suspek sedang kita cari," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Libat Urus bersama AADK dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di sini.
Sehingga kini, lima daripada enam pelatih yang melarikan diri itu telah diberkas.
Manakala seorang lagi masih dalam buruan polis.