PUTRAJAYA, 5 November - Kegagalan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari di Saujana Putra, Puchong menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK), disebabkan mereka tidak didaftarkan sebagai calon bagi tahun 2025, selain sekolah berkenaan belum berdaftar bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), serta beroperasi tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, perkara itu disahkan selepas semakan silang dan perbincangan dilakukan bersama Bahagian Pendidikan Islam JAIS, selaku agensi pelaksana KAFA di negeri itu.
Menurut beliau, kesemua murid berkenaan tidak didaftarkan sebagai calon UPKK Tahun 2025 melalui sistem rasmi pendaftaran calon, iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI), walaupun pihak sekolah telah menghantar surat rayuan pada 15 Oktober lalu.
"Sekolah tersebut tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Negeri Selangor sebagaimana diperuntukkan bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988," katanya menerusi satu kenyataan.
Datuk Dr Sirajuddin memaklumkan, JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah pada 3 November lepas bagi memperjelaskan keadaan.
Pihak sekolah dimaklumkan bahawa peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia dan tertakluk bawah Akta Rahsia Rasmi 1942, bagi memastikan kerahsiaan dan integriti peperiksaan.
Semua calon UPKK Tahun 2025 telah didaftarkan dan diberikan nombor giliran melalui SIMPENI sebelum pelaksanaan ujian lisan, di samping Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) serta ujian lisan al-Quran (UPKK01) juga telah dilaksanakan.
"Ujian bertulis UPKK dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 20 November 2025. Semua kertas peperiksaan telah diedarkan ke seluruh negeri berdasarkan bilangan calon dan pusat peperiksaan yang berdaftar," katanya.
Pihak sekolah dinasihatkan agar mempertimbangkan langkah memindahkan murid yang terlibat ke sekolah berdaftar bawah pihak berkuasa agama negeri, di samping mengambil langkah mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi tujuan peperiksaan UPKK.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar lebih peka dan proaktif dalam memastikan sekolah tempat anak-anak menimba ilmu berdaftar secara rasmi dengan pihak berautoriti agama negeri.
"Pendaftaran rasmi bukan sahaja memastikan kelancaran urusan peperiksaan, tetapi turut menjamin kualiti pendidikan, kebajikan murid, serta pengiktirafan sah terhadap sijil dan keputusan peperiksaan," katanya.