fb fb fb fb fb

Kebun Komuniti AU2 rintis Projek Madu Kelulut IS 1.0 berteknologi pintar

Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman / Foto RTM

KERAMAT, 21 Jun - Kebun Komuniti Rumah Pangsa AU2, Keramat menjadi perintis Projek Madu Kelulut Inovasi Sosial (IS) 1.0, yang memperkenalkan teknologi pintar dan pendekatan lestari dalam penternakan kelulut.

Projek Inovasi yang dibiayai Dana Inovasi Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 tersebut melibatkan pemasangan 12 sarang kelulut di kebun komuniti, perkongsian ilmu merangkumi kemahiran menternak kelulut, pengurusan sarang, penuaian madu dan penghasilan produk hiliran kepada komuniti setempat.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman optimis, projek berkenaan memberi ruang kepada penyelidik di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), mengaplikasi serta memindahkan ilmu serta kemahiran mereka kepada masyarakat khususnya di peringkat komuniti.

"Tiada guna kalau ada teknologi, sesuatu teknologi tapi tidak boleh diaplikasikan kepada peringkat komuniti setempat. Jadi saya rasa, ini adalah satu usaha sama yang sangat baik.

"Kita memang mengalu-alukan apa jua pembentukan, penemuan penyelidikan perlu melibatkan komuniti, melibatkan industri. Jadi, barulah kepentingan kepada penyelidikan tu dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Datuk Profesor Dr. Azlinda ditemui selepas Majlis Peluncuran Madu Kelulut Inovasi Sosial (IS) 1.0 Sempena Sambutan Jubli Timah Kebun Komuniti AU2 di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Beliau turut memuji semangat permuafakatan penduduk itu mengusahakan Kebun Komuniti secara konsisten serta sentiasa mengikuti perkembangan teknologi penanaman, sehingga mencecah usia Jubli Timah tahun ini.

"Harapan saya juga supaya penyelidik-penyelidik kita di peringkat universiti dapat lihat bagaimana boleh bantu komuniti setempat untuk tambah nilai contohnya di sini kita tengok banyak fertigasi yang berlaku, bagaimana Internet of Things (IoT) boleh mempercepatkan dan memudahkan penanaman misalnya...Itu semua adalah kepakaran yang seharusnya sampai dan boleh dipindahkan kepada komuniti," tambahnya lagi.

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ts Hasrolnizam Shaari melihat usaha komuniti Rumah Pangsa AU2 memanfaatkan rizab sungai serta membangunkan aktiviti berkebun di sekitar sangat terpuji.

Pada masa sama, membuktikan keakraban dan semangat kemasyarakatan sesama komuniti.

"Tahniah kepada Kebun Komuniti AU2 kerana sentiasa proaktif dan ambil pendekatan pendekatan terkini. Dan hari ini sekali lagi mereka mencipta satu perkara ke arah hadapan."

"Saya percaya ini juga akan menjadi dorongan dan sokongan kepada lain-lain komuniti yang berada di seluruh Ampang Jaya dan juga mungkin di seluruh negara," katanya.

Kebun Komuniti AU2 juga berfungsi sebagai hab pendidikan, dengan lebih 250 jenis pokok tanaman seperti ulam-ulaman dan buah-buahan termasuk pelbagai herba popular seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mahkota Dewa.

Pengerusinya, Mohamad Halim Mohamad Said berkata, ia diusahakan segenap penduduk komuniti itu secara sukarela sejak tahun 2015.

"Semua lapisan. Kita ada daripada sekolah, sampailah kepada yang paling berusia iaitu 75 tahun. Maksudnya kita ada daripada sekolah rendah, sekolah menengah, belia dan yang sudahpun berpencen."

Projek Kelulut IS 1.0 merupakan inisiatif kolaboratif melibatkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), perusahaan sosial Re: kayu Furniture Studio dan Kebun Komuniti Rumah Pangsa AU2 di bawah pengurusan MPAJ.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ