KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pengumuman tarif elektrik baharu Jumaat lalu menjadi bukti keberkesanan reformasi tenaga yang sedang dilaksanakan kerajaan, selain mampu memberikan manfaat langsung kepada majoriti rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata tarif asas bagi Tempoh Regulatory Keempat (RP4) dari 2025 hingga 2027 telah dikurangkan sebanyak 19 peratus daripada jangkaan awal susulan pelaksanaan beberapa langkah pembaharuan.
“Kalau kita lihat, ini bukti bahawa dengan hasrat membawa pembaharuan atau reformasi, manfaat itu masih boleh dinikmati oleh rakyat terbanyak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Lembah Pantai.
Menurutnya, kira-kira 85 peratus pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak akan terjejas dengan kadar tarif baharu, malah berpotensi menikmati pengurangan bil elektrik bermula 1 Julai ini, sekiranya penggunaan bulanan mereka tidak melebihi 1,000 kilowatt jam (kWj).
Dalam pada itu, Fahmi turut mengulas mengenai pengenalan Skim Masa Penggunaan (TOU) yang memberi galakan kepada pengguna untuk menjadualkan penggunaan elektrik pada waktu bukan puncak, sekali gus menjimatkan tenaga dan mengurangkan kos.
Langkah itu, katanya, sejajar dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Roadmap – NETR) yang bertujuan mempertingkat kecekapan sistem tenaga dan mencapai kemampanan jangka panjang.
“Ini satu reformasi besar dan ia selaras dengan usaha kerajaan untuk menjelang 2050 meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu serta mengurangkan pelepasan karbon secara keseluruhan,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan reformasi tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga dan TNB, dalam menjadikan sistem tenaga negara lebih mampan dan efisien.