MELAKA, 22 Jun – Kejayaan pasukan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak merangkul pingat emas dalam kategori “middle class” pada pertandingan orkestra antarabangsa di Prague, Republik Czech, baru-baru ini disifatkan sebagai simbol pencapaian pendidikan luar bandar yang mampu bersaing di peringkat global walaupun tanpa asas muzik formal.
Pengarah Muzik dan juga pemimpin Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail berkata kejayaan itu membuktikan potensi anak-anak Felda yang berjaya digilap melalui bimbingan sistematik serta latihan intensif.
“RTM telah menyediakan fasiliti dan tenaga pengajar, termasuk saya selaku penasihat bersama konduktor Raja Muzaffar dan barisan instruktor lain. Kejayaan ini bukan sekadar meraih kemenangan, tetapi menggambarkan peningkatan luar biasa pelajar luar bandar – daripada tidak mempunyai asas muzik kepada prestasi bertaraf profesional,” katanya kepada pemberita, di sini.
Menurut beliau, sebelum berlepas ke luar negara, kumpulan MAWO terlebih dahulu membuat persembahan dalam konsert khas bertajuk "Felda Desaku Mendunia" yang diadakan di Auditorium Sri Angkasa, dengan kerjasama Orkestra RTM sebagai platform persiapan ke pentas antarabangsa.
Sebanyak 58 pelajar terlibat dalam persembahan di Prague, membuktikan bahawa pelajar dari kawasan luar bandar juga mampu bersaing di pentas global sekiranya diberikan bimbingan dan peluang secukupnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman turut menyampaikan ucapan tahniah kepada pasukan MAWO atas pencapaian cemerlang tersebut.
“Kami di RTM sangat berbangga kerana dapat membimbing anak-anak muda ini yang pada asalnya bersifat amatur, dan kini mampu tampil bersama pemuzik profesional.
"Mereka pernah mengiringi persembahan artis ternama seperti Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah, sekali gus membuktikan tahap kualiti yang mereka capai adalah setaraf peringkat tertinggi,” katanya.
Tambah Datuk Suhaimi, kejayaan MAWO itu bukan sahaja mengharumkan nama sekolah dan FELDA, malah memberi inspirasi kepada pelajar luar bandar untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang seni dan muzik.