KUALA LUMPUR, 22 Jun - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyelar penyebaran infografik palsu yang mengaitkan Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu bentuk fitnah yang serius dan tidak bertanggungjawab.
“Secara peribadi, saya amat terkejut dengan penerbitan grafik infografik yang tidak tepat itu. Ia sama sekali tidak benar. Sepanjang pengetahuan saya, saya tidak pernah melihat Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menghadiri mana-mana acara parti seperti mesyuarat, konvensyen atau kongres PKR,” tegasnya dalam satu sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park Lembah Pantai, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan bahawa penubuhan Majlis Media yang baharu berpotensi menjadi platform yang berkesan untuk menangani isu berkaitan etika kewartawanan serta penyebaran maklumat palsu, meskipun struktur majlis tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan pembentukan.
“Kita baru sahaja menubuhkan Majlis Media dan meskipun strukturnya belum lengkap, saya percaya ia akan menjadi ruang yang baik untuk kita menguruskan isu-isu seperti ini,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar lebih beretika dalam melaporkan berita dan memastikan kesahihan maklumat sebelum disebarkan kepada umum.