KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kerajaan mengambil maklum kebimbangan pemain industri perabot tempatan berhubung kemungkinan kenaikan tarif ke atas kayu import yang bakal dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin mengakui sebarang peningkatan tarif boleh memberi kesan langsung terhadap nilai eksport serta kelangsungan operasi industri dan pekerjanya.
"Kami (Kementerian Perladangan dan Komoditi) sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pemain industri untuk disampaikan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana MITI adalah kementerian yang bertanggungjawab dalam isu ini.
"Namun, tugas kami adalah untuk terus berhubung dengan industri supaya dapat bersama-sama merangka dasar yang dapat meyakinkan rakan dagang di Amerika Syarikat," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Pameran Perabot Eksport (EFE) 2025 di ibu negara hari ini.
Foong Hin berkata dua sektor utama yang berisiko terkesan ialah industri perabot dan sarung tangan memandangkan Amerika Syarikat merupakan antara pelanggan utama Malaysia.
Setakat ini, katanya, Amerika Syarikat belum mengumumkan sebarang keputusan khusus terhadap Malaysia berhubung tarif berkenaan.
BERITA BERKAITAN