ALOR SETAR, 3 Mac – Bekalan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram mula memasuki pasaran di negeri ini.
Melalui tinjaun Berita RTM, bekalan beras itu dijual di beberapa premis peruncitan, termasuk Pasaraya Taman Bersatu, Kuala Kedah.
Tinjauan RTM mendapati bekalan tersebut tiba pagi ini, meskipun pemilik pasar raya, Lee Chieh Yuan, memaklumkan bahawa penghantaran sepatutnya dibuat semalam tetapi mengalami sedikit kelewatan.
"Hari ini kami terima beras jenama Hayati sebanyak 150 pek. Kami hadkan setiap ketua isi rumah kepada dua pek sahaja.
"Tetapi jangan risau, kerajaan telah menyediakan subsidi selama enam bulan dan bekalan akan tiba secara berkala. Jangan beli panik, beli sekadar cukup untuk sebulan dan datang lagi bila habis," katanya kepada RTM.
Sementara itu, penduduk tempatan menyambut baik langkah kerajaan dalam memastikan bekalan beras mampu milik kepada golongan yang memerlukan.
"Alhamdulillah, harga ini sangat membantu, terutama bagi keluarga besar. Satu pek 10 kilogram pun tak tahan lama kalau ada lima atau enam orang dalam rumah. Jadi subsidi ini memang perlu diteruskan," kata Fadhliyani Ahmad.
Seorang lagi penduduk, Azri Shahril Mohd Safar, turut berkongsi pandangan senada, menyifatkan harga RM26 sebagai satu inisiatif yang meringankan kos sara hidup.
"Harga ini banyak membantu, terutama dengan kos barangan yang semakin tinggi. Terima kasih kepada Kerajaan Madani kerana memastikan rakyat dapat menikmati harga yang lebih berpatutan," katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.
Peruntukan terbabit susulan penetapan harga lantai belian padi yang diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik.