fb fb fb fb fb

Trump arah semakan tarif kayu import pula

Donald Trump/AFP

WASHINGTON, 2 Mac- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengarahkan satu semakan terhadap kemungkinan mengenakan tarif ke atas import kayu dalam usaha terbaharu yang berpotensi mencetuskan ketegangan perdagangan.

Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick menjalankan semakan bagi menilai kesan import kayu dan produk berkaitan terhadap keselamatan negara.

Langkah tersebut boleh membawa kepada pengenaan tarif baharu yang menambah beban ke atas levi sedia ada.

Tindakan itu menyasarkan pengeksport utama seperti Kanada, Jerman dan Brazil dengan pegawai White House sebelum ini mendakwa negara-negara tersebut "membuang lambakan kayu ke pasaran AS hingga menjejaskan kemakmuran ekonomi serta keselamatan negara."

Kanada merupakan antara pengeksport utama kayu lembut di dunia dengan pasaran terbesar adalah AS.

Semakan bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Trump menggunakan mekanisme sama untuk mengkaji import tembaga dan selepas beliau mengumumkan kenaikan tarif ke atas produk keluli serta aluminium.

Seorang pegawai White House yang enggan dikenali berkata beberapa negara telah membangunkan lebihan kapasiti secara besar-besaran menerusi subsidi kerajaan menyebabkan industri tempatan AS kehilangan keupayaan pembuatan walaupun memiliki sumber asli sendiri.

AS sebelum ini telah mengenakan duti anti-lambakan dan imbangan ke atas kayu dari Kanada, namun pegawai kerajaan menyifatkan langkah itu masih belum mencukupi bagi menangani masalah tersebut.

Semakan yang dijalankan juga akan merangkumi produk derivatif seperti perabot. Laporan lengkap perlu dikemukakan kepada Trump dalam tempoh 270 hari.

Selain itu, Trump turut menandatangani perintah eksekutif kedua bertujuan meningkatkan pengeluaran kayu dalam negeri bagi mengurangkan kos pembinaan dan perumahan.

Bagaimanapun, pemain industri memberi amaran bahawa pengenaan tarif baharu berisiko meningkatkan kos pembinaan, sekali gus menjejaskan kemampuan pemilikan rumah.

"Tarif ke atas kayu dan bahan binaan lain hanya akan meningkatkan kos pembinaan serta menyekat pembangunan baharu," kata Pengerusi Persatuan Pembina Rumah Kebangsaan (NAHB) Carl Harris.

Sejak kembali ke White House pada Januari lalu, Trump telah mengumumkan dan menggantung beberapa tarif tinggi ke atas Kanada dan Mexico, selain mengancam tindakan balas yang boleh memberi kesan kepada sekutu dan pesaing perdagangan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA