KUALA LUMPUR, 3 Mac- Syarikat perbankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil inisiatif melatih kakitangannya untuk mengenal pasti taktik sindiket penipuan termasuk cara mangsa yang diperdaya bertindak atau bercakap mengikut arahan penjenayah siber.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata langkah itu sebagai benteng hadapan kerana penjenayah siber sering menggunakan teknik manipulasi untuk mengawal tindakan mangsa.
Beliau berkata latihan itu membolehkan kakitangan bank mengesan tanda-tanda penipuan dengan lebih pantas, sekali gus membantu mengurangkan kerugian akibat jenayah siber.
"Kakitangan bank dilatih untuk mengenal pasti tujuan tertentu yang dinyatakan oleh mangsa ketika berurusan dengan pegawai bank. Ini kerana mangsa telah diajar oleh sindiket penipuan untuk menyebut perkara tertentu sebagaimana yang diarahkan oleh penjenayah siber.
"Oleh itu, latihan yang diberikan kepada kakitangan bank membolehkan mereka mengenal pasti tanda-tanda penipuan secara refleks," katanya pada Majlis Pengiktirafan Wira Tidak Didendang "Kakitangan Bank dalam Melawan Penipuan" di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
"Jangan sesekali percaya atau terpedaya dengan panggilan telefon yang mendakwa daripada pihak berkuasa. Sama ada (penjenayah) mengaku daripada polis atau Jabatan Imigresen, mereka (penguatkuasa) tidak akan menghubungi anda secara peribadi melalui telefon," tegasnya.
Kes jenayah penipuan di Malaysia terus menunjukkan peningkatan dengan 35,368 kes direkodkan tahun lalu, membabitkan kerugian lebih RM1.6 bilion.
Jumlah itu meningkat tiga peratus berbanding 34,495 kes pada tahun sebelumnya dengan kerugian melebihi RM1.2 bilion.
Sebanyak 84.5 peratus daripada keseluruhan 41,701 kes jenayah komersial yang dilaporkan tahun lalu adalah berkaitan kes penipuan.
Justeru, pihak berkuasa dan institusi kewangan terus mempertingkatkan langkah pencegahan bagi membanteras jenayah termasuk melalui latihan berterusan kepada kakitangan bank serta kesedaran dalam kalangan masyarakat.