fb fb fb fb fb

Perkasa bidang STEM, Pulau Pinang berkolaboratif dengan sektor swasta

Boya Institute China memilih Kampus Convent Pulau Tikus sebagai pejabat pertama di luar negara, memperkukuh Pulau Pinang sebagai hab pembelajaran, inovasi, dan peluang/Foto Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

 

GEORGE TOWN, 3 Mac – Seiring dengan perkembangan pesat teknologi, Pulau Pinang terus menggalakkan kerjasama strategik dengan sektor swasta dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Usaha ini diperkukuh dengan pembukaan pusat pendidikan global baharu yang dijangka menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran dan latihan berkaitan teknologi terkini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan inisiatif sektor swasta untuk memperkasa pendidikan dalam bidang STEM bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.

"Pembangunan modal insan dalam kecerdasan buatan (AI) dan era digital amat penting untuk membantu negara melonjak ke tahap lebih tinggi. Tanpa tenaga kerja berkemahiran tinggi, matlamat ini sukar dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Phoenix Asia Academy of Technology, Metaverse Universal College (MVUC) dan Boya Institute Pulau Pinang di Kampus Convent Pulau Tikus (CPT), Georgetown.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) antara MVUC, Boya Institute, Entrepreneurs Empowering Entrepreneurs (E3), GSD Land dan Global Art Malaysia.

MoU ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam percambahan idea, inovasi dan pembangunan modal insan dalam bidang STEM, sekaligus membuka lebih banyak peluang pendidikan dan latihan kepada generasi muda.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengasas dan Presiden Phoenix Asia Academy of Technology & MVUC, Profesor Dr Kenneth Quah, serta Timbalan Presiden Boya Institute, Hu Jian.

GRACE AISYAH KEDAYAN