KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kerajaan hari ini secara rasmi mengumumkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 [Akta 676] akan mula berkuat kuasa hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata akta yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai 2024 bertujuan memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.
"Melalui pindaan ini, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Azalina berkata beberapa Akta berkaitan turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan termasuk Akta Keterangan 1950 [Akta 56], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 1949], Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].
"Dengan pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam jadual kepada akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007," katanya.
Azalina berkata ini juga termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan," katanya.
Beliau berkata Kerajaan MADANI tekad untuk terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan.
Azalina berkata usaha itu juga sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia termasuk bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak.
"Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] yang telah dikuatkuasakan pada 10 Julai 2024 adalah antara bukti nyata iltizam kerajaan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak.
"Antara perubahan utama dalam pindaan berkenaan ialah penambahan Seksyen 6A yang memperuntukkan pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak," katanya.
Azalina berkata proses pelantikan bagi jawatan-jawatan tersebut kini sedang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
"Pelantikan ini akan memastikan suara dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia terus diperkasakan serta diberi perhatian yang sewajarnya dalam dasar dan pentadbiran negara," katanya.