KUANTAN, 3 Mac – Kawasan ladang kelapa sawit yang musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan - Sungai Ular, berhampiran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng, kembali merebak sejak semalam akibat tiupan angin kuat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, berkata kebakaran yang bermula sejak 22 Februari lalu itu telah menyebabkan 75.67 hektar ladang kelapa, terbakar.
"Setakat ini, 66.77 hektar kawasan berjaya dipadamkan, manakala 8.90 hektar masih terbakar.
"Operasi pemadaman terus dipergiatkan dengan menggunakan helikopter bagi mempercepatkan pemadaman di kawasan yang sukar diakses," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurut Mohd Razam, operasi hari ini melibatkan 10 pegawai dan 63 anggota bomba dari 10 balai bomba, selain bantuan agensi lain termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang, Jabatan Alam Sekitar Pahang, Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, serta pekerja MCKIP.
Susulan kebakaran ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Balok Baru mencatatkan bacaan 251, menunjukkan tahap tidak sihat sejak pukul 10.00 pagi tadi.
Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar turut merekodkan peningkatan bacaan IPU yang mula naik seawal pukul 2.00 pagi.