KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kerajaan akan memperluas penggunaan kod respons pantas (QR) bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor, kepada kereta tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan proof-of-concept itu akan diteruskan susulan kejayaan sistem berkenaan yang sebelum ini digunakan bagi penumpang bas dan penunggang motosikal dalam mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
"Insya-Allah perkara ini akan dimuktamadkan dan kita harap apabila diputuskan untuk kaedah perolehan, ia dapat disegerakan.
"Sasaran kita adalah melanjutkan penggunaan QR Code bagi kereta untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan keluar masuk rakyat atau pengunjung ke Malaysia khususnya di Johor," katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman di sini hari ini.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan keperluan menggantikan kemudahan dan infrastruktur usang di Tambak Johor termasuk lif dan eskalator.