KUCHING, 3 Mac – Kerajaan Sarawak komited memastikan Tempat Transit Gelandangan (TTG) bukan sekadar tempat berteduh, tetapi platform untuk membantu golongan gelandangan mengubah nasib mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan proaktif diambil untuk melatih gelandangan dengan kemahiran, pekerjaan, dan peluang menjana pendapatan mengikut kebolehan mereka.
"Hasil kajian di TTG Sibu mendapati faktor utama yang menyebabkan mereka menjadi gelandangan kerana faktor kemiskinan, penyalahgunaan dadah, konflik keluarga dan masalah kesihatan mental," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Penasihat TTG Kuching di Bangunan Baitulmakmur, Kuching di sini hari ini.
Menurutnya, kementeriannya juga menjalankan pemeriksaan kesihatan, pemulihan dokumen pengenalan diri, serta mengenal pasti potensi dan kebolehan individu yang memerlukan.
"Penghuni TTG hanya akan ditempatkan sementara, sekurang-kurangnya selama 14 hari. Kebanyakan gelandangan yang kita kenal pasti adalah rakyat tempatan, berbeza dengan senario di negeri lain.
"Kami akan bezakan siapa yang masih produktif dan boleh dilatih dengan kemahiran menjana pendapatan. Kita boleh beri latihan serta padankan mereka dengan pekerjaan yang sesuai.
"Contohnya, di TTG Sibu ada yang bekerja sebagai tukang masak, menjaga tandas awam, dan mencuci kereta, bergantung kepada kebolehan mereka," jelasnya.
Selain itu, TTG juga menyediakan makanan bernutrisi kepada penghuni sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat, terutamanya golongan rentan, tidak mengalami kebuluran atau kekurangan zat.
Setakat Disember tahun lalu, seramai 133 gelandangan telah dikenal pasti di Sarawak dengan bahagian Sibu mencatat jumlah tertinggi (48 orang), diikuti Bintulu (24 orang) dan Kuching (19 orang).
Kerajaan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Pusat Hidayah (HCF) bagi mengendalikan TTG Kuching, yang dijangka beroperasi tahun ini.
Ketika ini, TTG Sibu telah beroperasi selama tiga tahun, manakala TTG Kuching menjadi pusat kedua, diikuti TTG Miri dan Bintulu yang masih dalam proses pembinaan dan pengubahsuaian.