fb fb fb fb fb

Presiden FAM kunjungi PM, kongsi agenda bola sepak negara

FOTO FACEBOOK Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang juga bekas Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Pada pertemuan itu, Mohd Joehari berkongsi agenda terkini FAM termasuk usaha memperkasakan pembangunan bola sepak peringkat remaja dan akar umbi.

"Kami bertekad memastikan pembangunan bola sepak negara terus maju dengan penekanan kepada bakat muda serta persiapan pasukan kebangsaan," katanya.

Beliau turut memaklumkan perkembangan persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.

Mohd Joehari diiringi Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram; tiga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh; Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Sementara itu, menerusi hantaran ringkas di Facebook Perdana Menteri, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan baharu FAM.

"Selamat maju jaya buat barisan kepimpinan baharu FAM. Semoga dapat membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara," katanya.

SITI AISHAH MD ISA