KUALA LUMPUR, 4 April- Tarif 24 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) memberi kesan bercampur kepada ekonomi Malaysia, di mana walaupun ia berpotensi menekan margin keuntungan syarikat eksport, ia juga membuka peluang untuk negara ini meneroka pasaran baharu di rantau Asia, kata seorang pakar ekonomi.
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, untuk jangka panjang, tarif tersebut akan mewujudkan hubungan perdagangan yang lebih rapat, melibatkan kedua-dua aspek eksport dan import dengan negara-negara terlibat.
Jelasnya, tarif lebih tinggi dikenakan terhadap negara lain seperti China (34 peratus), Kemboja (49 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Thailand (36 peratus).
"Negara-negara ini juga berpendapat serupa dengan Malaysia, yang ingin mengalihkan fokus daripada perdagangan dengan AS kepada perkongsian perdagangan antara negara-negara Asia.
"Ini meningkatkan peluang Malaysia untuk meraih pasaran baharu di negara-negara ini," katanya kepada RTM hari ini.
Rabu lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan pengenaan tarif asas 10 peratus ke atas semua negara serta tarif lebih tinggi untuk beberapa negara termasuk Malaysia.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia bersedia untuk berunding dengan AS mengenai tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia.
Perdana Menteri turut mengesahkan telah menghubungi rakan sejawatnya di beberapa negara ASEAN untuk terbabit dalam rundingan tersebut.