fb fb fb fb fb

PM arah bantuan diselaras bersama MB Selangor, Petronas

Anwar Ibrahim di lokasi kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu/Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan segala bentuk bantuan dan usaha koordinasi berkaitan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau juga meminta pihak Petronas yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, untuk terlibat dalam usaha tersebut.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu bagi memastikan segala gerak kerja pengurusan bantuan di lapangan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

"Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor industri amat penting dalam menangani situasi ini dengan segera dan menyeluruh," menurut kenyataan itu.

PMO memaklumkan Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semasa dan memberi sokongan penuh terhadap segala usaha pemulihan dan keselamatan yang sedang dilaksanakan.

Insiden pada Selasa itu menyebabkan sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.

Secara keseluruhannya kejadian itu melibatkan 1,254 mangsa daripada 308 keluarga.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi itu menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius, sebelum padam sepenuhnya hampir lapan jam kemudian.

Insiden tersebut juga menyebabkan kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter terbentuk di lokasi kejadian.

SITI AISHAH MD ISA