PUTRAJAYA, 19 November - Tiga sarjana terkemuka negara dilantik sebagai penyandang Kursi Akademik Luar Negara di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus memperkukuh perkembangan Pengajian Malaysia dan Pengajian Melayu di peringkat global.
Pelantikan tersebut melibatkan Profesor Dr Shahanum Md Shah sebagai penyandang Kursi Tun Abdul Razak, Profesor Dr Kartini Aboo Talib bagi Kursi Pengajian Malaysia, manakala Profesor Dr Indirawati Zahid diberi mandat mengetuai Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pemilihan tokoh berkenaan dibuat berdasarkan rekod kecemerlangan ilmiah masing-masing serta kemampuan mereka memperkukuh kedudukan kajian berkaitan Malaysia di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, penyandang baharu itu diharap dapat meneruskan legasi tokoh akademik terdahulu yang berjaya mengangkat ilmu berkaitan Malaysia dan dunia Melayu melalui kerusi berkenaan.
Profesor Dr Shahanum, 60, dari UiTM akan ditempatkan di Ohio University, Amerika Syarikat, bagi memperluas diplomasi pendidikan serta mengetengahkan naratif seni dan identiti Malaysia.
Sementara itu, Profesor Dr Kartini akan meneruskan peranan Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington, sebagai platform diplomasi intelektual yang membawa perspektif Malaysia dan Nusantara ke ruang perbincangan antarabangsa.
Bagi Profesor Dr Indirawati, jaringan akademik kukuh di China serta kepakaran dalam pengajian Melayu diyakini dapat memperhebat usaha memartabatkan bahasa dan budaya Melayu di peringkat global.