fb fb fb fb fb

Malaysia-Ethiopia sedia pacu hubungan dua hala baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Ethiopia Taye Atske-Selassie Amde mengadakan pertemuan rasmi di Addis Ababa

ADDIS ABABA, 19 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Ethiopia Taye Atske-Selassie Amde yang mengadakan pertemuan rasmi hari ini sepakat memacu hubungan Putrajaya dan Addis Ababa bersama hala tuju baharu.

"Dalam semangat memperingati 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, kami sehaluan bahawa ia harus dipacu dengan hala tuju baharu merentasi kerjasama tradisional kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, ekonomi halal, keselamatan siber dan bidang strategik lain yang mampu membuka ruang pertumbuhan bersama," katanya dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu di sini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan komitmen Malaysia melalui pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di sini pada September lepas.

Ia selaras dengan pengiktirafan terhadap Ethiopia sebagai hab diplomatik penting di benua Afrika.

"Malaysia turut mengalu-alukan penubuhan Kedutaan Ethiopia di Kuala Lumpur sebagai satu lagi langkah memperkukuh jambatan persahabatan, kepercayaan dan kerjasama dua hala.

"Semoga hubungan Malaysia dan Ethiopia terus diperkasakan dengan semangat persahabatan yang tulen, keyakinan bersama dan manfaat yang dirasai rakyat kedua-dua negara," katanya.

Ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke Ethiopia dalam usaha meningkatkan hubungan dengan benua Afrika menerusi ibu pejabat Kesatuan Afrika di sini.

ROSLINA BINTI DIN