GEORGE TOWN, 19 November - Pulau Pinang mencatatkan angka sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar sejak September lalu.
Ia direkodkan selepas menunjukkan penurunan konsisten sejak Februari, menurut rekod terkini Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim, berkata pencapaian itu adalah hasil proses pemutihan data di lapangan, dengan hanya kes berdaftar dalam Sistem eKasih dipaparkan selepas proses pembersihan dijalankan.
"Bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar telah menurun secara konsisten sejak Februari 2025 dan akhirnya mencapai sifar mulai September 2025. Angka sifar tersebut adalah hasil daripada proses pemutihan data di lapangan dan pihak ICU hanya memaparkan kes yang berdaftar dalam Sistem eKasih selepas pembersihan. Angka sifar tidak semestinya bermaksud tiada individu yang memerlukan bantuan; ia mungkin bermaksud tiada rekod berdaftar atau seseorang itu belum disahkan sebagai miskin tegar pada tarikh laporan."
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 (Belanjawan Negeri 2026) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Jelasnya, pihak ICU telah turun padang bagi menjalankan bancian dan proses pemutihan sebelum mengesahkan senarai miskin tegar.
Kriteria miskin tegar ditetapkan untuk isi rumah yang merekodkan pendapatan per kapita kurang daripada RM315.
Manakala kerajaan negeri melalui Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) telah meningkatkan kadar per kapita isi rumah kepada RM322.