JOHOR BAHRU, 22 Jun - Kerajaan Johor sudah menghantar surat amaran kepada petugas-petugas di pintu masuk sempadan negara khususnya Jabatan Imigresen Malaysia, untuk membuat tapisan kemasukan pengembara dari Singapura bagi mengekang penularan cacar monyet.
Ia susulan Singapura mengesahkan satu kes import cacar monyet di republik itu, kelmarin.
Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon petugas perlu segera melaporkan kepada Jabatan Kesihatan negeri jika mengesan pengembara yang mempunyai simptom.
(Ling Tian Soon ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Negeri Johor ke-15
di Kota Iskandar, Iskandar Puteri)
"Walaupun setiap hari kita ada pengembara dari Singapura ke Malaysia, tetapi kebanyakanya rakyat samada dari Singapura atau Malaysia tidak ramai datang dari negara-negara yang mempunyai kes cacar monyet. Kerana kita tiada penerbangan terus dari negara-negara tersebut. Jika ada dari negara terlibat mereka akan membuat tapisan pertama di Singapura untuk masuk ke Johor," kata Ling Tian Soon di sini.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor diminta bekerjasama dengan Kementerian kesihatan Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kes berkenaan serta terus memantau keadaan di republik itu.
Buat masa ini, belum ada keputusan untuk meletakkan petugas kesihatan khusus membuat saringan cacar monyet di pintu masuk sempadan.
Bagaimanapun kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengikut semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Pesakit, lelaki warga negara Britain berusia 42 tahun itu bekerja sebagai kru kabin syarikat penerbangan berada di Singapura antara 15 hingga 17 Jun, dan sekali lagi pada 19 Jun untuk terbang masuk dan keluar dari Singapura.
Dia diuji dan disahkan positif pada 20 Jun lalu.