fb fb fb fb fb

Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) KE-16 di Kemboja

Kemboja, 22 Jun - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan lawatan kerja ke Phnom Penh, Kemboja hari ini.

Tujuan utama lawatan kerja ini diadakan adalah bagi menghadiri serta mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-16.

Mesyuarat yang berlangsung selama sehari pada 22 Jun 2022 ini dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Samdech Pichey Sena Tea Banh selaku Pengerusi ADMM 2022.

Beliau juga merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja.


(Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Samdech Pichey Sena Tea Banh / Foto ATM)

Kehadiran Menteri Kanan Pertahanan bersama delegasi Malaysia ke ADMM ke-16 ini bukan sahaja amat penting untuk membolehkan Malaysia bersama kesemua negara anggota ASEAN membincangkan serta memperhalusi isu-isu pertahanan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Malah, ia juga platform yang signifikan untuk menteri-menteri pertahanan ASEAN mengukuhkan lagi semangat kebersamaan ASEAN khususnya dalam konteks kerjasama pertahanan di rantau ini.

Dalam masa yang sama, seperti kelaziman di tahun-tahun sebelum ini, ADMM juga merupakan medan terbaik untuk Malaysia melalui Menteri Kanan Pertahanan menyuarakan pandangan serta pendirian berhubung pelbagai isu pertahanan demi kepentingan keselamatan ASEAN khasnya dan Malaysia amnya.

Kementerian Pertahanan juga ingin memaklumkan, sebagai sebahagian daripada ADMM ke-16, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-China dan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun juga akan diadakan bersampingan ADMM.

Kedua-dua mesyuarat tersebut dijangkakan antara lain akan memfokuskan kepada usaha mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan serantau ASEAN-China dan ASEAN-Jepun.

Sejurus selesai kedua-dua mesyuarat ini, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta menteri-menteri pertahanan ASEAN akan mengadakan kunjungan hormat bersama ke atas Perdana Menteri Kemboja, TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen.

Walaupun mesyuarat hari ini melibatkan wakil State Administration Council (SAC) dari Myanmar, ini bukan bermakna bahawa Malaysia mengiktiraf SAC sebagai Kerajaan Myanmar yang sah.

Malaysia sentiasa menekankan bahawa pihak SAC perlu segera melaksanakan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) bagi mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar.

Dalam pada itu, semalam Menteri Kanan Pertahanan juga telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama TYT Samdech Pichey Sena Tea Banh.

Antara yang menjadi tumpuan perbincangan antara kedua-dua pemimpin berkenaan ialah meningkatkan lagi kerjasama pertahanan dalam melaksanakan operasi pengaman di seluruh dunia khususnya penglibatan tentera pengaman wanita di ASEAN.

Satu kesepakatan telah dicapai semalam yang mana Kemboja akan menghantar tentera pengaman wanitanya ke Pusat Pengaman Malaysia (Malaysia Peacekeeping Centre) di Port Dickson untuk menjalani latihan seterusnya meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam melaksanakan operasi pengaman.

Media Baharu