SEREMBAN, 18 Jun- Tapak baharu pembinaan Masjid Kariah Seri Pilah akan dipindahkan ke Lot 5616 dan Lot 5618 di Pilah Tengah, bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan lebih selamat, berdaya tahan serta memenuhi keperluan semasa dan masa depan komuniti Islam di kawasan berkenaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemilihan lokasi baharu itu dibuat selepas kajian mendalam oleh pihak teknikal mendapati tapak asal tidak sesuai untuk pembangunan masjid baharu yang lebih selesa dan selamat.
“Saya berharap tujuan asal kita untuk memberi keselesaan kepada jemaah dapat dicapai, di samping faktor keselamatan. Masjid lama terlalu berhampiran dengan jalan utama dan itu membahayakan.
"Apa yang penting, pembinaan ini bukan hanya untuk sekarang, tapi untuk generasi akan datang,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri, hari ini.
Terdahulu, kerajaan negeri bersetuju untuk merobohkan masjid lama dan membina baharu setelah laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati bangunan sedia ada tidak lagi selamat digunakan.
Menurut Aminuddin, tapak asal di Lot 20073 dan Lot 5560 menghadapi beberapa kekangan termasuk keluasan yang terhad, isu keselamatan trafik, keperluan kerja penambakan tanah serta ketiadaan ruang yang mencukupi untuk tempat letak kenderaan.
Tambahan pula, kos pembinaan dijangka meningkat sekiranya pembinaan diteruskan di tapak asal memandangkan terdapat keperluan untuk membina tembok penahan setinggi kira-kira tiga meter di bahagian belakang masjid.
Tapak baharu yang dipilih bukan sahaja lebih luas dan strategik, tetapi juga membuka potensi pembangunan jangka panjang yang memberi manfaat kepada komuniti kariah secara menyeluruh.