KUALA LUMPUR, 18 Jun- Semangat kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan rakyat Malaysia perlu terus dipelihara dan dijulang demi memastikan negara kekal aman dan harmoni.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan itu menerusi catatan di Facebook selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR), di Putrajaya hari ini.
Kehadiran Perdana Menteri disambut mesra oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Majlis yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi kementerian, warga kerja dan para tetamu itu diserikan dengan persembahan kebudayaan serta pelbagai juadah tradisional dan moden sempena Hari Gawai seperti mee kolok, nasi umai hitam manis, laksa Sarawak, kek lapis dan kuih celorot.