fb fb fb fb fb

KKR perlukan hampir RM4 bilion pulih jalan rosak seluruh negara

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media selepas Majlis Interaksi Menteri Kerja Raya Bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri Siri 2 Tahun 2025 hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan hampir RM4 bilion bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih semua jalan rosak di seluruh negara secara menyeluruh.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian itu sudah mempunyai data lengkap mengenai keadaan jalan di seluruh negara, termasuk keutamaan berdasarkan tahap kerosakan.

“Sebenarnya, kita dah ada maklumat semua jalan. Kita tahu mana yang teruk, mana yang sederhana. Kalau nak elokkan semua jalan, memang perlu hampir RM4 bilion. Tapi masalahnya, kita tak ada kawan, maksudnya, peruntukan sebesar itu belum ada,” katanya kepada media.

Menurut beliau, disebabkan kekangan kewangan, kementerian mengambil pendekatan berperingkat dengan memberi fokus kepada jalan-jalan yang paling kritikal dahulu, berdasarkan peruntukan tahunan yang diterima.

“Jalan yang rosak tapi tak terlalu kritikal, kita tangguh dulu. Kita utamakan jalan yang perlu disegerakan pembaikannya. Contohnya macam di Gerik, kawasan itu termasuk dalam senarai kritikal,” tambahnya, merujuk kepada lokasi kemalangan maut pelajar UPSI baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Gawai KKR 2025 yang berlangsung di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Alexander turut memberi jaminan, KKR sentiasa memantau keadaan jalan dan akan terus memperjuangkan keperluan peruntukan tambahan, terutama demi keselamatan pengguna.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE