fb fb fb fb fb

Tiga kementerian bincang mekanisme banteras jualan produk terlarang dalam talian

FOTO HIASAN / BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Jun- Satu mesyuarat melibatkan tiga kementerian akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan mekanisme menangani penjualan produk terlarang seperti cecair vape dan rokok elektronik yang mengandungi dadah secara dalam talian.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat itu akan melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali telah memaklumkan mengenai jualan produk-produk dalam talian, termasuk barangan yang diklasifikasikan sebagai dadah atau narkotik yang disalahgunakan bersama peranti vape.

“Ini menunjukkan keprihatinan jemaah menteri dan kerajaan berhubung perkara yang sedang berlaku dalam masyarakat. Kesemua produk terlarang ini dijual secara dalam talian dengan berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi selepas mesyuarat pasca Jemaah Menteri, hari ini.

Tambah Datuk Fahmi, hasil perbincangan itu kelak akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, termasuk mencadangkan tindakan terhadap penjual dan platform-platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera terhadap penjualan produk vape mengandungi dadah sintetik dalam talian, susulan laporan yang didedahkan pada 5 Jun lalu.

Menurut Datuk Fahmi lagi, arahan itu dikeluarkan berikutan kebimbangan serius terhadap penyalahgunaan rokok elektronik yang kini turut melibatkan bahan terlarang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE