KUANTAN, 3 Oktober - Pelaksanaan inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) menyerlahkan lagi keberuntungan bergelar warga Malaysia.
Seorang peniaga, Khaidir khalid yang menyambut baik inisiatif itu berkata sebagai rakyat (Malaysia) dia memperoleh banyak kelebihan termasuklah penjimatan menerusi BUDI95.
"Ini kelebihan yang kita nikmati sebagai rakyat (Malaysia), harga yang perlu dibayar hanya RM1.99 berbanding warga asing (RM2.60)," jelasnya.
Mohamad Anwar Syafiq Mohamad Kaberi juga menzahirkan rasa bertuah sebagai warganegara kerana dapat menikmati subsidi yang ditawarkan.
"Sebagai rakyat Malaysia kita beruntunglah kerana dapat menjimatkan kos perbelanjaan bulanan," katanya.
Superpaveen Babu, seorang pelajar tidak terlepas daripada menikmati manfaat BUDI95.
"Saya dapat menjimatkan duit perbelanjaan kerana membayar harga petrol pada harga lebih rendah," jelasnya.
Turut menyambut baik inisiatif ini, Aida Hidayu Abu Samah yang juga merupakan seorang pelajar.
"Sebagai warganegara, saya menerima banyak manfaat menerusi BUDI95 terutama menjimatkan lebih banyak wang. Pelaksanaannya (sistem) juga mudah dan ringkas," ujarnya.
Fong Shiek Nee turut menyifatkan pelaksanaan sistem BUDI95 mudah dan lancar.
BUDI95 diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lepas sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia yang turut membantu mengurangkan kos sara hidup.