fb fb fb fb fb

Misi Global Sumud Flotila lambang semangat persaudaraan sejagat

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 3 Oktober -Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyifatkan, misi kemanusian Global Sumud Flotila (GSF) sebagai lambang semangat persaudaraan sejagat dalam membantu golongan yang memerlukan.

Seri Paduka Baginda bertitah, misi tersebut mencerminkan komitmen tinggi dalam membantu mangsa yang kelaparan termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak yang terkesan akibat konflik dan krisis kemanusiaan.

Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian dan pengorbanan para sukarelawan GSF, termasuk rakyat Malaysia yang sanggup berdepan risiko dan cabaran demi menyampaikan mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.

"Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.

"Pada hari ini, saya mendapatkan taklimat terkini mengenai perkembangan semasa GSF termasuk usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dalam membebaskan sukarelawan kita.

"Semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat kita dipermudahkan dan dilindungi Allah SWT," titah Baginda menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku.

TETITIA YUSOFF