BUTTERWORTH, 3 Oktober - Rejim Israel perlu menghormati undang-undang antarabangsa dan segera membebaskan kesemua sukarelawan yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Demikian reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung penahanan peserta misi kemanusiaan ke Gaza, termasuk 23 rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan tindakan Israel telah mencetuskan kemarahan masyarakat dunia dan rejim Zionis itu perlu bertindak selaras dengan undang-undang, bukannya menurut kehendak sendiri.
"Tindakan menahan sukarelawan yang ingin menyampaikan bantuan ke Gaza telah menimbulkan perasaan marah seluruh dunia.
"Tindakan yang dilakukan satu misi (GSF) secara aman…bukan membawa niat untuk lawan dengan senjata dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Bersama Ahli Kelab Veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Wilayah Utara di Bukit Mertajam.
Tambah beliau, tindakan rejim Zionis itu jelas mencabuli keabsahan undang-undang antarabangsa.
Misi kemanusiaan itu disertai hampir 500 sukarelawan dari pelbagai negara.