KUALA LUMPUR, 3 Oktober -Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 32 tahun selepas disyaki menghalang tugas polis ketika himpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lebih 50 orang hadir menyertai himpunan aman.
Namun keadaan bertukar tegang apabila berlaku cubaan menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak sehingga mencetuskan kekecohan.
Seorang anggota polis dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan hak berhimpun secara aman dijamin Perlembagaan Persekutuan.
"Namun, hak tersebut mesti dilaksanakan secara tertib, berhemah dan mematuhi undang-undang tanpa menjejaskan keselamatan awam, mengganggu ketenteraman masyarakat, atau menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas rasmi," jelas kenyataan itu.
KDN turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil langkah tegas bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara.