fb fb fb fb fb

Tanda solidariti, orang ramai terus sumbang kepada Tabung Kemanusiaan Palestin

FOTO FAIL/ REUTERS

PUTRAJAYA, 10 November - Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan agensi bawahnya menyumbang RM850,566.23 untuk Tabung Kemanusiaan Palestin bagi membantu rakyat di negara tersebut.

KPK dalam satu kenyataan berkata, sumbangan yang diselaraskan Kelab Sukan dan Kebajikan KPK itu, diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selain wang tunai, KPK melalui Majlis Getah Malaysia turut menyumbang 100,000 sarung tangan getah yang akan disumbangkan kepada pasukan perubatan di Semenanjung Gaza.

Inisiatif kutipan sumbangan itu merupakan tanda sokongan KPK, mendukung inisiatif Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam yang dilancarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, 24 Oktober lepas.

"KPK sentiasa menyokong sebarang inisiatif murni dan misi kemanusiaan sejagat, termasuk membantu meringankan kesengsaraan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin," menurut kenyataan kementerian itu.

Dalam perkembangan sama, di Pulau Pinang sebanyak RM1.22 juta hasil kutipan orang ramai diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.

Penyampaian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid kepada Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) yang diwakili Pengerusinya Badereddin Seyam.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata atas dasar keprihatinan terhadap rakyat Palestin kerajaan negeri telah melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin pada 13 Oktober lepas dan sumbangan orang ramai disalurkan ke akaun khas menerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk menyumbang kepada mangsa kekejaman rejim Israel itu.

Badereddin Seyam turut menzahirkan ucapan ribuan terima kasih di atas sumbangan dan keprihatinan rakyat Malaysia itu.

"Saya amat berterima kasih dan menghargai semua sumbangan dari Malaysia khususnya rakyat Pulau Pinang yang membantu menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin dan pada masa sama menyeru seluruh umat Islam di dunia menyokong rakyat Palestin mendapatkan hak mereka," kata Badereddin.
 
Turut dijalankan beberapa aktiviti seperti Himpunan Aman Solidariti Rakyat Palestin, pameran khas sempena memperingati Gaza dan himpunan kasih bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia.

Mohamad berkata sumbangan bagi tabung berkenaan masih diteruskan sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

TETITIA YUSOFF