fb fb fb fb fb

Perayaan Deepavali, jalan dalam membangun Malaysia Madani, hormat menghormati- PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 November- Perayaan Deepavali merupakan salah satu jalan dalam membangun Malaysia yang Madani, hormat menghormati selain memelihara kerukunan antara kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan berkata, kejamakan budaya di negara ini mesti terus dipertahan tanpa diganggugugat oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata sebarang percubaan untuk melemahkan tiang masyarakat mesti dipatahkan dengan sikap beserta nilai dan budi pekerti yang tinggi.

"Kerajaan Perpaduan akan memastikan pembangunan sosioekonomi semua rakyat, pengagihan kekayaan yang lebih saksama dan bantuan kepada yang memerlukan disampaikan dengan lebih tuntas dan cekap", kata Datuk Seri Anwar dalam kenyataan.

Tambahnya, beliau akan berusaha bagi memastikan kebajikan dan tahap hidup masyarakat, yakni masyarakat Hindu terutamanya, terus ditambahbaik dan dilindungi.

"Nikmat dan khazanah negara juga mesti dirasai semua secara adil dan saksama", katanya.

Perdana Menteri mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

"Deepavali yang diraikan sebagai ‘pesta cahaya’ adalah simbolik kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan atas kebobrokan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan dan keangkuhan", katanya.

ROSLINA BINTI DIN